BERITA SEMASA

Op Pedo 2.0: Tindakan lebih tegas digesa diambil lindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual digital – Syerleena

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, menyifatkan pendedahan hasil Operasi Pedo 2.0 sebagai satu tamparan hebat terhadap negara, sekali gus membuktikan jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak kini semakin membimbangkan di Malaysia.

Menurutnya, operasi yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menahan 31 individu, termasuk kanak-kanak seawal usia 12 tahun, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) di pelbagai negeri.

Antara kes yang mengejutkan, katanya, melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun yang dilaporkan memperoleh RM76,000 hasil pengedaran bahan tersebut dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

“Operasi kali ini melibatkan sembilan negeri, termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Sabah, Sarawak dan Kelantan. Rampasan turut mencatatkan angka luar biasa iaitu lebih 880,000 fail digital CSAM, berbanding sekitar 40,000 fail dalam Op Pedo 1.0.

“Ini peningkatan 20 kali ganda dan ia menunjukkan betapa seriusnya ancaman ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Syerleena turut memuji ketegasan dan kecekapan PDRM serta MCMC dalam menumpaskan rangkaian itu.

Namun beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi.

MCMC 

“Kita mesti memperkukuh undang-undang, mengenakan hukuman lebih berat terhadap pelaku dan memastikan platform teknologi serta penyedia perkhidmatan bertanggungjawab. Dalam masa sama, ibu bapa, pendidik dan masyarakat juga perlu memainkan peranan penting,” katanya.

Sementara itu beliau turut menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap keselamatan digital anak-anak, mendidik mereka tentang risiko di ruang siber serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Masa depan anak-anak kita sedang dipertaruhkan. Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati. Semua pihak mesti menjadi benteng menentang pemangsaan digital,” tegasnya.

Pada masa sama, Syerleena menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan pelaku jenayah terhadap kanak-kanak.

“Kepada mereka yang memangsa kanak-kanak, kamu tidak selamat. Malaysia akan memburu kamu dan memastikan keadilan ditegakkan. Apa yang kamu lakukan bukan sekadar jenayah ia keji, tidak boleh dimaafkan dan satu serangan terhadap kemanusiaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button