BERITA SEMASADALAM NEGERI

Operator kilang maut dalam letupan mesin pengering di Sepang

SEPANG – Seorang operator kilang warga asing maut dalam satu insiden letupan membabitkan mesin pengering di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kawasan Perindustrian Tanjung, di sini pada Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar pukul 2.56 petang ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja rutin membasuh dan mengeringkan produk sarung tangan.

Menurut JKKP, sepasukan pegawai penyiasat telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.

“Kemalangan berlaku semasa mangsa sedang memasukkan produk sarung tangan ke dalam mesin pembasuh sebelum memindahkannya ke dalam mesin pengering.

“Setelah selesai, mangsa kembali semula ke mesin pengering untuk membuat pemeriksaan dengan memegang dinding pintu mesin menggunakan tangan,” kata kenyataan itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bahawa selepas mangsa menekan butang mula, satu letupan berlaku secara tiba-tiba menyebabkan pintu mesin pengering terpelanting dan terkena mangsa.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta.

Susulan kejadian, JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu kepada pihak majikan bagi menghentikan serta-merta semua aktiviti kerja di kilang tersebut sehingga siasatan lengkap dijalankan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, mengikut peruntukan Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” kata JKKP.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button