Ops Lens KLCC: 28 sitaan, 23 kompaun dikenakan terhadap ‘ulat foto’
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempergiat tindakan terhadap kegiatan jurufoto tanpa kebenaran apabila merekodkan 28 sitaan dan 23 kompaun menerusi pelaksanaan Op Lens sehingga 19 April lalu.
Operasi bersepadu Siri 6/2026 yang dijalankan kelmarin di sekitar Pintasan Saloma dan KLCC itu turut menyaksikan empat notis mahkamah diserahkan kepada individu yang gagal menjelaskan kompaun.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) bagi membanteras aktiviti ‘ulat foto’ yang beroperasi tanpa permit di kawasan tumpuan awam.

Menurut DBKL, dalam operasi terbaru itu, empat notis kompaun dikeluarkan kepada individu yang didapati menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran, selain tiga tindakan sitaan melibatkan pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit.
“Secara keseluruhan sehingga 19 April 2026, DBKL telah mengeluarkan 23 notis kompaun dan melaksanakan 28 sitaan peralatan, termasuk tujuh kes membabitkan warga asing.
“Empat individu turut diserahkan notis hadir ke mahkamah kerana gagal membayar kompaun yang dikenakan,” kata DBKL menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tindakan penguatkuasaan itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Dalam masa sama, JIM dan JPN memeriksa 31 individu bagi pengesahan dokumen pengenalan diri, dengan empat daripadanya diberikan surat akuan penahanan dokumen oleh JPN untuk siasatan lanjut berkaitan status kerakyatan.
DBKL menegaskan akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan sekitar kekal selamat serta bebas daripada aktiviti tidak sah yang boleh menimbulkan risiko keselamatan, gangguan kepada pengunjung dan menjejaskan kelancaran trafik.
Semua peralatan yang disita telah dipindahkan ke stor sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi lanjut, manakala orang awam boleh menyalurkan aduan melalui saluran rasmi agensi itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












