LUAR NEGARA

‘Pagi dan malam sudah tiada’ – Penduduk bandar paling panas di India bergelut hadapi gelombang haba

UTTAR PRADESH – Penduduk daerah Banda di Uttar Pradesh, India kini terpaksa mengubah rutin harian mereka susulan gelombang haba ekstrem yang menyaksikan suhu mencecah 47 hingga 48 darjah Celsius selama lebih seminggu.

Daerah yang dihuni lebih dua juta penduduk itu menjadi lokasi paling panas di India pada Mei lalu, sekali gus memberi tekanan besar kepada golongan yang bergantung kepada pekerjaan luar seperti petani, buruh binaan dan pemandu pengangkutan.

india
Daerah Banda di negeri Uttar Pradesh dihuni oleh lebih dua juta penduduk.

Peniaga sayur di Atarra, Himanshu berkata, pasar kini mula lengang seawal pukul 8 pagi kerana orang ramai mahu mengelakkan cuaca panas melampau.

“Baru pukul 6.15 pagi tetapi terasa seperti pukul 8 atau 9 pagi,” katanya memetik laporan BBC News.

Menurutnya, cuaca panas turut menyebabkan hasil pertanian cepat rosak.

“Sekotak tomato mesti dijual hari ini atau esok. Dalam cuaca begini, ia tidak tahan lama,” katanya lagi.

Seorang tukang binaan, Pappu Verma pula berkata dia kini bekerja dari pukul 7 pagi hingga tengah hari sebelum menyambung semula kerja pada lewat petang bagi mengelakkan strok haba.

“Kalau tidak, duit yang saya dapat habis untuk beli ubat,” katanya.

Di sebuah jambatan Sungai Ken, tiga pekerja wanita pembinaan jalan terpaksa berlindung di bawah lori tangki air ketika waktu makan tengah hari.

Salah seorang daripada mereka, Shanti Devi berkata, golongan miskin tiada pilihan selain terus bekerja walaupun cuaca terlalu panas.

“Orang miskin tidak ada kemewahan untuk risau tentang cuaca panas,” katanya.

india
Shanti Devi (kiri) bersama rakannya berlindung di bawah sebuah lori tangki air di atas jambatan lebuh raya merentasi Sungai Ken bagi mengelakkan bahang cuaca panas melampau.

Pihak hospital tempatan turut melaporkan peningkatan kes berkaitan cuaca panas membabitkan cirit-birit, muntah dan demam terutama dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas.

Ahli meteorologi, Dinesh Sah berkata, apa yang membimbangkan bukan sekadar suhu tinggi, tetapi tempoh haba ekstrem yang semakin panjang.

“Selama lapan atau sembilan hari, suhu 47 hingga 48 darjah Celsius berterusan tanpa henti. Itu yang baharu,” katanya.

Beliau turut menggambarkan keadaan cuaca di Banda sebagai luar biasa.

“Rasanya seperti pagi dan malam sudah tidak wujud lagi,” katanya.

Kajian oleh penyelidik Universiti California, Berkeley, Piyush Narang dan Ashok Gadgil menganggarkan Uttar Pradesh boleh mencatat lebih 8,000 kematian tambahan ketika gelombang haba teruk selama lima hari, lebih tinggi berbanding banyak negeri lain di India.

Penyelidik percaya faktor seperti penebangan pokok, perlombongan pasir, kekurangan sumber air dan pembangunan pesat menyebabkan Banda semakin terdedah kepada haba melampau.

Walaupun hujan dan ribut debu baru-baru ini menurunkan suhu beberapa darjah Celsius, penduduk percaya gelombang haba seperti itu akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button