Peletakan jawatan pegawai kanan LTAT, tidak jejas operasi dan perkhidmatan – Khaled
KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan tiga pegawai kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak akan memberi impak terhadap operasi serta perkhidmatan entiti tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya memberi jaminan untuk terus memantau dan memastikan operasi LTAT berfungsi sebagai sebuah badan berkanun kerajaan bertepatan dengan objektif penubuhannya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan calon-calon yang layak dan berkredibiliti untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.
“Kementerian Pertahanan komited untuk terus memantau dan memastikan operasi dan strategi menjadikan LTAT sebagai sebuah dana persaraan mampan sewajarnya fokus kementerian dan LTAT untuk memastikan nilai wang simpanan ATM terus dilindungi dan berkembang,” kata Khaled di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor di Dewan Rakyat, pagi tadi.
Kekosongan jawatan Ketua Eksekutif LTAT kini digalas oleh Mohd Asyraf Mohd Razi, Ketua Pegawai Kewangan, berkuat kuasa serta merta.
Jawatan pengerusi pula dipangku oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak yang juga merupakan Timbalan Pengerusi LTAT.
LTAT adalah sebuah badan berkanun kerajaan yang menyediakan kemudahan skim simpanan persaraan untuk Pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia serta anggota kerahan sukarela.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












