BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu treler maut dirempuh lori selepas terselamat kemalangan

JASINTindakan seorang pemandu treler keluar daripada kenderaannya untuk menyelamatkan diri selepas terbabit kemalangan berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh lori di Kilometer 178.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak pada pukul 9.20 malam akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu treler jenis Volvo membawa muatan kenderaan import terpakai dari Pelabuhan Klang, Selangor menuju ke Muar, Johor.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, treler terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, melanggar pembahagi jalan dan menggelongsor ke lereng bukit lalu merempuh sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, selepas kemalangan itu, mangsa bertindak keluar dari kenderaannya sebelum cuba melintas jalan untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, sebuah lori jenis Nissan CD4 yang dipandu lelaki berusia 64 tahun dari arah sama tidak sempat membrek atau mengelak mangsa yang melintas secara tiba-tiba dari kanan ke kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan dikejarkan ke Hospital Tangkak sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis menerima laporan kejadian pada pukul 4.05 petang melalui kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin selepas dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Daerah (DCC).

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button