Pemulangan hasil negara kepada rakyat bukti kejayaan reformasi pentadbiran
KUALA LUMPUR – Kejayaan kerajaan dalam menyalurkan semula hasil daripada penjimatan dan penguatkuasaan tegas kepada rakyat disambut baik sebagai bukti keberkesanan dasar reformasi serta urus tadbir berhemah yang diamalkan pentadbiran hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan berasaskan reformasi ekonomi seperti penyasaran semula subsidi diesel dan RON95 di samping langkah menutup ruang ketirisan, kini menampakkan hasil nyata apabila manfaat tersebut kembali kepada rakyat dalam bentuk bantuan langsung dan program kebajikan.
“Dengan urus tadbir yang baik serta pengurusan kewangan yang cekap, setiap penjimatan hasil daripada penguatkuasaan, pengurangan pembaziran dan penyasaran semula subsidi dapat dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen, semalam.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan, antara manfaat yang diteruskan hasil penjimatan tersebut termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta bantuan awal persekolahan seperti diumumkan dalam belanjawan kali ini.
Katanya, keberkesanan penguatkuasaan turut memainkan peranan besar apabila hasil tindakan mengekang penyeludupan dan kegiatan haram lain yang menyumbang kepada penjimatan ketara buat negara.
“Seperti yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, nilai ketirisan akibat penyeludupan mencecah RM15.5 bilion tahun lalu dan tahun ini.
“Sebahagian daripada hasil penjimatan dan penalti penguatkuasaan itu telah disalurkan kembali kepada rakyat, antaranya melalui pelaksanaan pendidikan percuma kepada pelajar yang layak di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” ujarnya.
Dalam sektor komunikasi, kerajaan turut memperkukuh infrastruktur digital negara apabila memperuntukkan RM2 bilion kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan projek Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (SALAM) yang bakal memperluas capaian internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.
Langkah bersepadu itu, menurut Fahmi, membuktikan iltizam kerajaan untuk memastikan hasil negara dikembalikan kepada rakyat melalui pengurusan berintegriti serta tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menyelewengkan sumber negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












