Perselisihan dalam BN libatkan MIC ‘sudah selesai’ – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Isu perselisihan dalaman Barisan Nasional (BN) melibatkan anggota komponennya, MIC sudah diselesaikan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesediaan MIC untuk hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 serta ‘pre-council’ membabitkan wakil rakyat BN, menzahirkan kesetiaan parti itu kepada gabungan tersebut.
“Sewaktu PAU, MIC juga diwakili oleh Timbalan Presidennya (Datuk Seri M Saravanan). Pagi tadi, apabila kami mengadakan ‘pre-council’, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), MIC juga datang.
“Bukan hanya menghantar ADUN, Ahli Parlimen dan Senator, tetapi MIC juga sudah menghantar Timbalan Presidennya untuk mewakili MIC.
“Ini memperlihatkan bahawa ribut di dalam cawan itu sudah selesai dan ini ditambah oleh berita gembira (penyertaan Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam BN) pada hari ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh.
Pada November lalu, Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












