BERITA SEMASA

Pertemuan dengan Trump jadi medan penting untuk jayakan ruang dialog – tegas PM

SEPANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pertemuannya kelak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog terus kekal sebagai salah satu aparat utama.

Perdana Menteri berkata, ruang dialog itu penting dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza.

“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman serta akan menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan dan tinjauan ke Markas Utama MAPIM untuk Global Sumud Flotilla di sini petang tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang, Selangor. 30 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Dalam pada itu Anwar turut menzahirkan penghargaan di atas kecekalan semua peserta misi kemanusiaan itu yang tidak gentar mengharungi pelayaran itu.

“Kecekalan para perwira berhari-hari membelah samudera demi keadilan lantas menjentik nurani dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin di Gaza tetapi juga kepada masyarakat dunia yang mengikutinya dengan rasa juang yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang, Selangor. 30 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak dan dijangka mula memasuki zon merah pada esok hari.

“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global.

“Justeru, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar. Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan.

“Sebagaimana 34 anak Malaysia yang kini bersama pasukan flotila ini, ia tentunya menjadi catatan sejarah dalam menegak keadilan dan membela kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama berdoa supaya peserta misi berkenaan diberikan perlindungan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang, Selangor. 30 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

“Mari bersama terus berdoa kepada Allah SWT agar usaha ini diberi perlindungan dan menjadi sinar terbaik serta jawapan yang ampuh kepada kezaliman ini.

“Ia pastinya menjadi detik pensejarahan yang penting serta permulaan kepada era dan order baru dunia yang lebih aman dan yang mampu menjamin keadilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button