JENAYAH & MAHKAMAH

Polis cedera dalam pergaduhan di kedai makan, 8 individu ditahan

GEORGE TOWN – Dua anggota polis cedera selepas terlibat dalam insiden pergaduhan dengan orang awam di sebuah kedai makan berhampiran pangsapuri di Jalan Sungai Pinang, di sini malam tadi.

Beberapa video memaparkan insiden tersebut turut tular di media sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua anggota polis yang mengalami kecederaan itu sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Setakat ini seramai lapan individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 40-an dan polis sedang mengenal pasti beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Kejadian pada pukul 10 malam itu berlaku membabitkan anggota berkenaan dengan beberapa penduduk selepas motosikal yang ditunggang terlanggar kedai makan di pangsapuri terbabit.

Difahamkan juga sebelum kejadian, seramai empat anggota polis mengejar sebuah motosikal yang ditunggang suspek lelaki dan memasuki kawasan pangsapuri sehingga terbabas lalu melanggar gerai makan di laluan masuk perumahan itu.

Seorang daripada anggota polis berkenaan dikatakan mengalami cedera ringan di bahagian mata dan pipi akibat pergelutan manakala seorang lagi bengkak di dahi.

Sebuah motosikal milik anggota juga dikatakan mengalami kerosakan disyaki dilakukan orang awam

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button