Polis sedang kenal pasti individu terlibat palsukan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan
KUALA LUMPUR – Polis sedang mengenal pasti dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen tujuh pemain bola sepak warisan Harimau Malaya yang dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya kini sedang mengesahkan identiti dan mengesan individu yang terlibat.
“Setakat ini, polis telah menerima sebanyak 45 laporan mengenai isu ini.
“Pada masa yang sama, seramai 43 saksi melibatkan pegawai Persatuan Bola sepak Malayisa (FAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan saksi awam telah dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” kata Rusdi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, pemberian taraf kewarganegaraan melalui proses naturalisasi kepada tujuh pemain tersebut dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur ditetapkan undang-undang.
“Siasatan ketika ini menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan semasa proses pendaftaran serta mengemukakan dokumen pemain terlibat kepada FIFA,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan juga denda.
“PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi jaminan bahawa pihak polis sentiasa komited dalam memastikan ketelusan serta integriti siasatan diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










