Tiga direman dipercayai bersubahat kes cubaan culik kanak-kanak warga Singapura
JOHOR BAHRU – Pihak polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai bersubahat dengan suspek utama kes cubaan culik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun di bandar raya ini pada 12 Disember lalu, semalam.
Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 15, 17 dan 18 tahun itu dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan di Pontian, pada kira-kira pukul 5.40 petang.
Terdahulu, beliau memaklumkan telah menahan suspek utama penculikan tersebut yang merupakan seorang mekanik kenderaan berusia 41 tahun.
“Suspek utama merupakan rakan kongsi perniagaan kepada bapa kanak-kanak yang diculik, tujuan penculikan itu adalah bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000.
“Cubaan menculik itu bagaimanapun gagal apabila bapa mangsa, seorang warga China yang mempunyai taraf penduduk tetap Singapura berjaya menghalang perkara tersebut.
“Bapa mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah khususnya di bahagian muka akibat insiden itu,” katanya.
Tambah Raub, suspek utama telah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, kelmarin mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










