Polis tahan penganggur miliki 26 rekod jenayah disyaki bakar enam rumah di Klang
KLANG – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes membakar enam unit rumah dengan sengaja di kawasan Perumahan Kampung Johan Setia, Klang di sini, semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, penahanan suspek berusia 43 tahun di lokasi kejadian susulan maklumat dan laporan diterima daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan kebakaran rumah berlaku di dua lokasi berbeza.
“Siasatan mendapati, jarak di antara kedua-dua lokasi adalah 500 meter membabitkan sebuah rumah di lokasi pertama dan lima unit rumah di lokasi kedua.
“Siasatan lanjut mendapati, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh dua jam.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kehilangan nyawa dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalariffin berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai 26 rekod jenayah lalu termasuk dadah, manakala ermohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Klang hari ini.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api dengan niat membinasakan rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











