BERITA SEMASA

Polis nasihat penganjur perhimpunan Jalur Gemilang terbalik batalkan hasrat berhimpun

KUALA LUMPUR – Penganjur perhimpunan berkaitan insiden Jalur Gemilang diterbalikkan di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas yang dijadualkan hari ini, dinasihatkan supaya membatalkan hasrat berkenaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihak polis memandang serius sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan awam.

“Kami maklum mengenai perhimpunan yang dirancang di Bertam, Kepala Batas hari ini dan telah menasihatkan semua pihak terlibat untuk membatalkannya.

“Langkah ini diambil bagi melindungi komuniti setempat dan mengelakkan sebarang konfrontasi tidak sihat antara kumpulan yang bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalid berkata, siasatan polis masih dijalankan berhubung insiden paparan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Sehingga kini, sebanyak 38 laporan polis telah diterima di seluruh negara, iaitu 17 di Pulau Pinang dan 21 di negeri lain.

“Siasatan turut melibatkan tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman berkenaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya sambil menambah bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11 Ogos dan kini sedang diteliti.

Beliau menegaskan, pihak polis kekal komited menjalankan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut undang-undang bagi memastikan keamanan serta keharmonian masyarakat terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button