BERITA SEMASA

Raih jualan RM1.2 juta dalam 30 saat, Khairul Aming kembali rampas takhta ‘Raja Sale’

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming kembali membuktikan pengaruh luar biasa dalam dunia jualan dalam talian apabila mencatat rekod baharu dengan jualan mencecah RM1.2 juta hanya dalam tempoh 30 saat di platform TikTok.

Pencapaian yang dibuat malam ini sekali gus membolehkan beliau merampas semula gelaran ‘Raja Sale’ daripada usahawan kosmetik sensasi, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang sebelum ini memecahkan rekod Khairul Aming dengan jualan RM1 juta dalam masa 2 minit 32 saat.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh penulis dan pempengaruh media sosial, Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menyifatkan angka jualan Khairul Aming sebagai ‘mind blowing’ dan hampir mustahil untuk dipecahkan oleh pesaing lain.

“Khairul Aming kekal Raja Sale. DAS cuma pegang sat ja title tu. Now KA kembali dengan RM1.2j dalam masa 30 saat! Gila,” tulis beliau.

Hantaran ringkas itu berjaya meraih lebih 10,000 reaksi, 635 komen dan 243 perkongsian.

Sebelum ini, Khairul Aming memegang rekod jualan RM1 juta dalam tempoh 3 minit 39 saat.

Cikgu Mohd Fadli turut memuji kedua-dua figura itu kerana berjaya mencipta fenomena jualan luar biasa hasil strategi pemasaran kreatif, jenama yang kuat dan interaksi aktif bersama pengikut.

Lebih istimewa, lima pembeli terpantas rendang nyet Khairul Aming malam ini turut menerima hadiah tajaan percutian ke New Zealand.

Malah, pemenang boleh membawa seorang peneman menjadikan 10 orang yang ditaja oleh beliau.

Fenomena ‘perang rekod jualan pantas’ itu turut menarik perhatian ramai pemerhati industri e-dagang tempatan, yang melihat persaingan sihat ini sebagai bukti potensi besar pasaran jualan langsung di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button