Istana Perak nafi dakwaan palsu majlis perkahwinan Diraja
KUALA KANGSAR – Pihak Istana Perak membuat laporan polis susulan penyebaran video di aplikasi TikTok yang mendakwa satu istiadat perkahwinan Diraja Perak akan berlangsung di Istana Iskandariah, di sini pada 7 Ogos ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa laporan polis itu telah dibuat pada 31 Julai lalu bagi menafikan sepenuhnya kandungan video berdurasi 58 saat yang tular berkenaan.
“Pejabat Duli Yang Maha Mulia tidak mengenali dan tidak ada sebarang hubungan dengan pemilik akaun TikTok tersebut serta tidak melantik mana-mana pihak atau pemilik akaun media sosial sebagai jurucakap Istana Perak bagi sebarang majlis di Istana Perak termasuk Majlis Perkahwinan Diraja.
“Pejabat menegaskan bahawa kandungan laporan akaun TikTok berkaitan sama sekali tidak benar dan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menafikan sebarang penglibatan pihak istana dengan pemilik akaun TikTok tersebut dan menegaskan bahawa tiada individu atau pemilik akaun media sosial dilantik sebagai jurucakap rasmi bagi pihak Istana Perak.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih yang boleh menjejaskan nama baik institusi diraja serta mengelirukan masyarakat.
Terdahulu, video terbabit mendakwa kononnya Majlis Persandingan Diraja akan berlangsung dari 7 hingga 17 Ogos di Istana Iskandariah, termasuk siaran langsung oleh sebuah stesen televisyen tempatan pada pukul 11.30 pagi, 7 Ogos.
Video itu juga menyebut bahawa Majlis Akad Nikah dan Berbedak akan disiarkan kepada umum, selain mendakwa pasangan diraja berkenaan akan ke Tamparuli, Sabah selama seminggu bermula 17 Ogos sempena urusan perkahwinan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












