
Rexy mahu terus kekal di Malaysia
SEPANG – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, tetap komited bersama kem badminton negara walaupun ada desakan daripada peminat di Indonesia supaya beliau pulang ke tanah airnya.
Rexy menghargai pandangan peminat namun buat masa ini, tugas dan hatinya masih untuk Malaysia.
“Saya tak terfikir untuk balik Indonesia sekarang dan hanya fokus kepada tanggungjawab saya.
“Apa yang netizen cakap, itu hak mereka. Tapi saya ada tanggungjawab di sini.
“Jika kontrak saya tamat dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu melanjutkannya, saya akan terima kerana rumah saya di sini.” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris.
Skuad badminton negara baru sahaja menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua gangsa melalui beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia.
Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, mencipta sejarah sebagai beregu wanita Malaysia pertama mara ke separuh akhir dan menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan, manakala beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tersingkir di suku akhir.
Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan kempen badminton di kedudukan ketujuh daripada lapan negara, sementara Indonesia hanya meraih satu gangsa dan berada di tempat terakhir.
Rexy turut memaklumkan bahawa beliau dan pengurusan ABM akan bermesyuarat pada 13 Ogos ini untuk merangka strategi bagi persediaan ke Los Angeles 2028.
“Apa yang telah berjaya di Paris 2024 akan diteruskan dan ditambah baik.
“Kami juga akan bekerjasama dengan pasukan China, Jepun dan Korea untuk menambah baik persiapan kami,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












