RTM, Unifi TV siar semua 104 perlawanan Piala Dunia
KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tanah air bakal menikmati liputan menyeluruh Piala Dunia FIFA 2026 apabila kesemua 104 perlawanan kejohanan itu akan disiarkan menerusi platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
Menurut maklumat rasmi yang dikeluarkan RTM, orang ramai boleh mengikuti siaran secara percuma menerusi saluran RTM di platform MYTV, termasuk TV Okey dan Sukan.
Selain itu katanya, perlawanan terbabit juga boleh dilayari melalui aplikasi RTMKLIK yang boleh diakses menggunakan telefon pintar, tablet, komputer serta televisyen pintar.
“RTMKLIK turut menawarkan siaran langsung, siaran tertunda dan kandungan video atas permintaan (VOD), membolehkan peminat mengikuti setiap aksi walau di mana mereka berada.
“Bagi memudahkan akses kepada kejohanan terbesar dunia itu, RTM menyediakan pelbagai platform tontonan termasuk aplikasi RTMKLIK yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery,” katanya. 
Selain siaran langsung, RTM juga akan menampilkan program khas sepanjang kejohanan meliputi pra-perlawanan, sorotan harian, analisis pakar serta perkembangan terkini dari venue pertandingan.
Katanya, ulasan perlawanan turut disediakan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi perlawanan tertentu.
Sementara itu, orang ramai yang berdepan masalah penstriman disaran memastikan aplikasi RTMKLIK dikemas kini kepada versi terkini dan menggunakan sambungan internet yang stabil bagi menjamin pengalaman tontonan yang lancar.
Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico merupakan edisi pertama yang menampilkan 48 pasukan bertanding, sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah perlawanan kepada 104 aksi sepanjang kejohanan.
RTM turut memaklumkan jadual siaran perlawanan akan dikemas kini secara berkala menerusi portal rasmi RTM, aplikasi RTMKLIK serta platform media sosial rasmi penyiar awam itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












