BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pembinaan rumah ibadat bukan Islam di Taman Dato Harun dipersoal, dakwa tiada libat urus awam

PETALING JAYA – Keputusan Kerajaan Selangor meluluskan pembinaan tapak rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di Lot 76417, Bandar Petaling Jaya Selatan dipersoalkan apabila didakwa dibuat tanpa sebarang libat urus awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, keputusan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap sensitiviti sosial dan keharmonian komuniti di kawasan Taman Dato Harun yang didominasi penduduk Melayu Islam.

Beliau berkata, kelulusan berkenaan diberikan tanpa sebarang rundingan rasmi dengan beliau selaku wakil rakyat kawasan, penduduk setempat mahupun peniaga yang bakal menerima kesan langsung daripada keputusan tersebut.

Menurut beliau, keputusan itu bertentangan dengan prinsip tadbir urus baik yang menuntut proses libat urus awam secara telus dan bermakna, terutama bagi perkara melibatkan perubahan guna tanah serta pewartaan tapak rumah ibadat di kawasan berisiko dari segi sensitiviti sosial.

“Bantahan ini bukan bermaksud menafikan hak kebebasan beragama mana-mana pihak. Namun, soal lokasi, sensitiviti masyarakat dan keharmonian komuniti perlu menjadi pertimbangan utama kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Taman Dato Harun, hari ini.

Baca juga : Penduduk Taman Dato Harun bantah sebuah kuil dibina di kawasan lebih 90 peratus penduduk Islam

rumah ibadat
Dr Afif Bahardin memegang surat bantahan rasmi kepada Menteri Besar Selangor berhubung kelulusan tapak rumah ibadat bukan Islam. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dr Afif berkata, kawasan Taman Dato Harun dan sekitarnya merupakan penempatan peneroka bandar Melayu yang telah wujud sejak puluhan tahun lalu dan kini didiami hampir 95 peratus penduduk Melayu beragama Islam.

Beliau berkata, penduduk hanya menyedari kewujudan cadangan pembinaan rumah ibadat berkenaan selepas kerja-kerja tanah dimulakan di tapak tersebut, sekali gus menimbulkan rasa terkejut dan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.

“Sekiranya kerajaan negeri memaklumkan perkara ini lebih awal, saya yakin pandangan yang lebih adil, harmoni dan konstruktif boleh dikemukakan. Hakikatnya kami tidak menghalang pembinaan kuil, tetapi bukan di lokasi ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Afif berkata, kelulusan dasar tapak berkenaan yang diperuntukkan kepada Persatuan Penganut Sri Maha Marimman Desa Perangsang juga dibuat tanpa penilaian menyeluruh terhadap implikasi kepadatan penduduk, kesesakan lalu lintas, keselamatan awam serta kualiti hidup masyarakat setempat.

Menurutnya, walaupun kelulusan itu bersifat dasar, ia berpotensi mewujudkan jangkaan sah (legitimate expectation) kepada pihak penerima sehingga boleh menjejaskan kebebasan dan objektiviti proses kelulusan seterusnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan telah mengambil keputusan untuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memohon supaya kelulusan dasar tersebut dibatalkan atau digantung sementara.

rumah ibadat
Tapak yang diluluskan sebagai rumah ibadat bukan Islam dan menjadi tumpuan bantahan penduduk Taman Dato’ Harun. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam masa sama, Dr Afif turut mengemukakan cadangan alternatif yang lebih inklusif iaitu mewartakan Lot 76417 sebagai kawasan lapang awam dan rekreasi hijau untuk dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Cadangan ini dapat menyediakan ruang riadah, interaksi sosial serta menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup penduduk, selain selari dengan prinsip pembangunan mampan dan perancangan bandar lestari,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Razali Abas, 62, berkata, penduduk setempat berasa kecewa kerana kawasan berkenaan merupakan penempatan majoriti Melayu Islam.

“Kami kecewa sebab kawasan ini majoritinya orang Melayu. Kalau kawasan 50-50, mungkin tidak jadi masalah. Tapi di sini keadaannya jelas berbeza,” katanya.

Menurut Razali, penduduk tidak dimaklumkan dan tidak dipanggil untuk sebarang perbincangan sebelum keputusan dibuat, termasuk kegagalan memanggil wakil rakyat kawasan bagi mengadakan mesyuarat bersama penduduk.

“Kami bantah ikut undang-undang. Kami cuma mahu kerajaan pertimbangkan semula keputusan ini dan dengar suara penduduk,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button