RUU PSB pastikan pemaju tidak lepas tangan – Johari
KUALA LANGAT – Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) perlu digubal bagi memastikan pemaju hartanah tidak sewenang-wenangnya meninggalkan projek sehingga menyusahkan penduduk.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kelemahan kawal selia sebelum ini menyebabkan banyak projek pembangunan semula tergendala dan mangsanya adalah penduduk yang menunggu kediaman baharu.
“Contohnya, flat Tun Razak, 12 blok sudah dirobohkan selama 16 tahun tetapi sehingga kini belum dibangunkan semula. Ada penduduk yang menunggu unit baharu tetapi tidak dapat.
“Satu lagi, projek Sungai Baru juga sama, sudah lapan tahun tidak siap. Apabila tiada kawalan, pemaju boleh datang dan pergi, bila ada masalah mereka lepas tangan. Akhirnya kerajaan pula yang terpaksa tanggung,” katanya kepada media selepas lawatan rasmi ke Pulau Carey bersama Pesuruhjaya Alam Sekitar Kesatuan Eropah (EU), Jessika Roswall, hari ini.
Johari yang mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi mengkaji penambahbaikan RUU PSB menjelaskan, akta khusus itu penting terutama di Kuala Lumpur yang merekodkan 139 lokasi telah dikenal pasti untuk pembangunan semula, dengan kebanyakan kawasan melibatkan komuniti Melayu.
Menurutnya, RUU itu juga perlu memperincikan soal prosedur, pengurusan serta keperluan menyediakan penempatan sementara kepada penduduk yang terlibat supaya mereka lebih yakin dengan projek berkenaan.
“Kita kena pastikan perkara ini dimasukkan secara jelas dalam undang-undang, bukan sekadar janji pemaju. Kalau tidak, nasib penduduk akan terus terabai,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












