JENAYAH & MAHKAMAH

Sanusi tarik balik tohmahan terhadap Anwar, pertikaian selesai secara baik

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka dan tanpa syarat menarik balik kenyataannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menamatkan pertikaian peribadi antara kedua-dua pemimpin itu.

Langkah tersebut dicapai selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan prosiding saman fitnah yang difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember 2022 di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah.

Peguam Anwar, Datuk S. N. Nair berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee telah merekodkan penghakiman persetujuan selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam prosiding hari ini.

Menurut kenyataan bersama, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah dan kos perundangan yang akan ditanggung oleh kedua-dua pihak.

“Pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu besar dan penting yang perlu diberikan tumpuan demi kepentingan negara.

“Penarikan balik ini diambil sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan baik serta berhemah antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

Selaras dengan penyelesaian itu, Anwar bersetuju menarik balik saman sivil terhadap Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, manakala Sanusi pula beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana kenyataan yang menjadi asas tindakan guaman tersebut.

Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Dr John Lee atas usaha mediasi yang membolehkan penyelesaian dicapai, selain berterima kasih kepada pegawai mahkamah atas profesionalisme mereka dalam mengendalikan kes berkenaan.

Mereka juga berharap penyelesaian secara baik ini dihormati semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengeruhkan perpaduan serta keharmonian negara.

Selain Nair, peguam L. Narendran turut hadir mewakili Anwar selaku plaintif, manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button