Seorang dikhuatiri lemas selepas kemalangan motosikal
JOHOR BAHRU – Seorang individu dikhuatiri lemas selepas dipercayai tercampak ke dalam saluran air laut susulan kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Jalan Bazar Karat, berhampiran Pos Malaysia, semalam.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 10.49 malam sebelum jentera pertama tiba enam minit kemudian.
“Sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal. Seorang mangsa dipercayai tercampak ke dalam saluran air berhampiran,” menurut kenyataan itu.
Tambah JBPM, tiga lagi mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Operasi pencarian segera digerakkan di sekitar lokasi kejadian meliputi kawasan seluas 30 meter, termasuk pencarian menerusi selaman sedalam 12 kaki sebanyak tiga kali, namun mangsa masih belum ditemukan.
Sebuah motosikal berjaya dinaikkan ke darat sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.14 pagi.
Kes kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dan BBP Skudai dengan sokongan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Turut digunakan dalam operasi ialah satu jentera FRT, satu unit EMRS, tiga motosikal RIM dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux PPDA.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












