BERITA SEMASA

Siasatan aset Dr Mahathir masih berjalan – SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) yang berkaitan dengan aset luar negara milik tokoh politik berkenaan.

“Siasatan terhadap Tun Dr Mahathir masih berjalan dan SPRM sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar, terutamanya daripada pihak berkuasa di UK.

“Sekiranya maklumat berkenaan diperoleh, kita akan memaklumkan kepada umum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, siasatan ini memerlukan kerjasama rentas negara memandangkan ia melibatkan dokumen serta rekod kewangan di luar bidang kuasa Malaysia.

Siasatan terhadap harta dan aset pemimpin politik negara menjadi perhatian sejak kebelakangan ini apabila beberapa tokoh ternama turut dikaitkan dengan pemilikan aset bernilai tinggi di luar negara, termasuk kes melibatkan keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Azam menegaskan, SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan bebas tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.

“Prinsip kita jelas, setiap maklumat akan disiasat secara profesional. Sama ada ada kes atau tidak, itu bergantung kepada hasil siasatan serta keputusan pihak Pendakwa Raya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button