SUKAN

Sultan Pahang titah beri peluang jawatan Presiden FAM diterajui orang muda

NILAI – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan baginda tidak berhasrat untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya menyarankan jawatan Presiden badan induk itu diserahkan kepada pemimpin generasi baharu.

Ditanya mengenai kemungkinan kembali menerajui FAM pada Kongres Pemilihan September depan, baginda dengan nada bersahaja bertitah dirinya sudah termasuk dalam kelompok “orang lama”.

“Tidak payahlah saya. Saya sudah orang lama…bagi orang muda (bertanding Presiden FAM). Tanya menteri, terima kasih. Bagi orang muda,” titah baginda, lapor RTM.

Baginda bertitah demikian ketika ditemnui pemberita pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, hari ini.

Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah bukan nama asing dalam arena bola sepak negara apabila pernah memegang jawatan Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.

Kongres Pemilihan FAM yang dijangka berlangsung September ini dilihat antara agenda penting dalam menentukan hala tuju baharu badan induk berkenaan, susulan beberapa perkembangan dalam struktur pentadbiran sejak awal tahun.

Pada Januari lalu, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dilaporkan meletakkan jawatan secara beramai-ramai bagi memberi laluan kepada proses audit dalaman oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Audit itu dijalankan susulan isu membabitkan tujuh pemain kebangsaan yang dikenakan penggantungan oleh FIFA selepas didakwa terlibat dalam isu pemalsuan dokumen.

Perkembangan itu mencetuskan pelbagai persoalan terhadap aspek tadbir urus serta pematuhan pentadbiran FAM, sekali gus mendorong AFC melaksanakan semakan menyeluruh terhadap struktur dan pengurusan badan induk berkenaan.

Minggu lalu, Kongres Luar Biasa FAM diadakan bagi membolehkan AFC membentangkan hasil dapatan audit tersebut, yang turut membuka laluan kepada proses pemilihan kepimpinan baharu.

Pemilihan yang bakal berlangsung pada September ini dijangka menjadi penentu hala tuju FAM dalam usaha memulihkan keyakinan pemegang taruh serta memperkukuh integriti pentadbiran bola sepak negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button