BERITA SEMASA

Tidak puas hati arahan tugas cetus insiden pukul sesama anggota tentera

KUALA LUMPUR – Rasa tidak puas hati terhadap arahan tugas dipercayai menjadi punca seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) bertindak agresif sehingga mencederakan beberapa anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kejadian di Kem Bentong, Isnin lalu.

Dalam insiden pada pukul 8 malam itu, seorang mangsa dikenali sebagai Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, dilaporkan tidak sedarkan diri, manakala enam lagi anggota mengalami kecederaan.

Menurut kenyataan TDM, kejadian dipercayai berlaku di Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD), apabila seorang anggota PTTR bertindak menggunakan kekerasan dengan menampar serta menumbuk mangsa di bahagian muka dan perut.

“Akibat kejadian itu, Muhammad Amirul Raziq tidak sedarkan diri dan diberi rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong,” menurut kenyataan tersebut.

Mangsa kini dilaporkan menerima rawatan rapi dengan bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Sementara itu, enam lagi anggota berusia antara 19 hingga 22 tahun telah menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan pasukan.

Dalam perkembangan sama, anggota PTTR yang disyaki terlibat telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.

“TDM memandang serius insiden ini dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Tindakan tegas akan diambil dan tiada kompromi terhadap sebarang salah laku yang melanggar undang-undang serta peraturan sedia ada,” tegas kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera cedera parah selepas dipukul oleh seorang anggota berpangkat koperal.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang kelmarin dan kini direman sehingga Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button