Tiga UAV ANKA di Labuan perkukuh pengawasan perairan negara – Mohamed Khaled
LABUAN – Penempatan tiga sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan mampu memperkukuh keupayaan pengawasan perairan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem UAV ANKA yang dibangunkan Turkish Aerospace Industries berfungsi sebagai aset pemantauan strategik khususnya di wilayah timur negara.
Katanya, daripada perspektif taktikal, penggunaan sistem ANKA mampu mengukuhkan keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) TUDM dalam memantau ruang udara serta keselamatan maritim.
“Langkah ini memastikan kedaulatan negara terus terpelihara, di samping meningkatkan kesiapsiagaan operasi pasukan,” katanya ketika lawatan kerja ke Pangkalan Udara TUDM Labuan di Membedai, semalam.
Menurut beliau, UAV berkenaan mampu beroperasi melebihi 20 jam tanpa henti, satu kelebihan yang sukar dicapai pesawat konvensional, selain jumlahnya berpotensi ditambah pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan kerja naik taraf infrastruktur pangkalan yang kini mencapai kemajuan 51.77 peratus turut giat dilaksanakan termasuk penggantian struktur asfalt di No. 14 Skuadron kepada Pavement Quality Concrete (PQC) yang lebih tahan lama dengan kos RM22.5 juta.
“Selain itu, projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bernilai RM57.3 juta turut dilaksanakan melibatkan pembinaan pelbagai jenis kuarters termasuk blok Kelas E dan Kelas G serta kemudahan sokongan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kedua-dua projek berkenaan dijangka siap antara April hingga Julai tahun ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, penempatan sistem UAV bersama usaha memperkukuh infrastruktur pangkalan membolehkan TUDM Labuan terus memainkan peranan penting sebagai pangkalan utama pertahanan udara negara di wilayah timur.
“Usaha ini selaras dengan cabaran keselamatan yang semakin kompleks di Laut China Selatan,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












