Trump dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN-AS di Malaysia
KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang akan berlangsung di Malaysia pada Oktober ini, lapor Buletin TV3.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengesahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk menetapkan tarikh rasmi sidang kemuncak berkenaan, sekali gus memberi bayangan kemungkinan kehadiran Trump.
“Ya, itu kemungkinan. Kami sedang usahakan untuk menetapkan tarikh,” katanya kepada media pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur pada Oktober depan.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata jemputan itu disampaikan kepada Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau pagi tadi.
“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” katanya.
Pertemuan selama kira-kira 40 minit itu diadakan di Bangunan Parlimen dan ia merupakan lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












