BERITA SEMASADALAM NEGERI

Virus Nipah: KKM pertingkat pemantauan di pintu masuk antarabangsa

PUTRAJAYA – Susulan kejadian wabak penyakit Nipah di India, Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan pemantauan pengembara di pintu masuk antarabangsa bagi memastikan negara terus bebas daripada risiko jangkitan.

Menurut KKM, pengawasan berterusan akan dipertingkatkan, termasuk pemantauan rapi di lapangan serta pengukuhan kapasiti makmal negara bagi memastikan pengesanan awal dapat dilaksanakan.

Jelas KKM, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan turut diperhebat selaras dengan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan, merangkumi amalan pencegahan dan pengawalan infeksi (IPC).

“Kerjasama rentas sektor dan antara agensi yang akan terus diperkukuh bagi melindungi kesihatan awam serta mencegah sebarang risiko kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.

“Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang kes penyakit Nipah sejak 1999, KKM kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, pemantauan berterusan juga dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melalui pendekatan *One Health*.

“Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang awam, khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi, untuk menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit serta tidak mengambil produk yang disyaki tercemar.

“Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat,” menurut kenyataan itu lagi.

KKM menegaskan, penyakit Nipah wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit itu sejak September 1999.

Penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV), dengan keluang (flying foxes atau fruit bats) sebagai perumah semula jadi.

Menurut KKM, jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan tercemar, serta kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

Gejala lazim penyakit ini termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan, yang biasanya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari.

“Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button