JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita berlumuran darah dalam video tular akibat dipukul suami

IPOH – Seorang wanita berlumuran darah yang terakam dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini disahkan cedera akibat dipukul suaminya.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Muhammad Najib Hamzah, suami mangsa yang juga pemandu lori berusia 31 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan majistret.

“Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan kelmarin selepas menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun, kira-kira pukul 10.50 malam pada hari sama.

Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan suaminya yang berada dalam keadaan mabuk ketika insiden berlaku.

“Polis turut mengesan satu hantaran tular di aplikasi Threads yang memaparkan seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah meminta pertolongan di kawasan Desa Pengkalan Timah, Lahat.

“Siasatan lanjut mengesahkan mangsa telah membuat laporan polis pada hari kejadian dan suspek berjaya ditahan pada hari sama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button