Wanita warga emas parah ditikam anak perempuannya guna alat pembuka tin
KUALA PILAH – Seorang wanita warga emas cedera parah selepas ditikam anak perempuannya menggunakan alat pembuka tin di bahagian leher dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, Johol di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam jam 7.08 malam.
“Orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan telah berlaku di lokasi.
“Hasil siasatan, suspek telah menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, mangsa berusia lingkungan 80-an telah dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil serta masih dalam pemantauan pihak hospital.
Jelasnya, suspek berusia 50-an merupakan anak kandung mangsa telah pun ditahan untuk membantu siasatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842999.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












