11 terbunuh, 12 cedera dalam insiden tembakan ketika perlawanan bola sepak di Mexico
SALAMANCA – Seramai 11 orang terbunuh manakala 12 lagi cedera dalam insiden tembakan rambang yang berlaku di sebuah padang bola sepak di tengah Mexico kelmarin, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan awam negara itu yang bakal menjadi salah satu tuan rumah Piala Dunia pada Jun depan.
Datuk Bandar Salamanca, Cesar Prieto berkata, kejadian berlaku ketika perlawanan hampir tamat apabila sekumpulan lelaki bersenjata tiba dan melepaskan tembakan secara rawak ke arah penonton serta pemain.
“Sepuluh mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Seorang kanak-kanak turut termasuk dalam senarai mereka yang cedera,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurut Prieto, serangan tersebut dipercayai sebahagian daripada gelombang keganasan yang melanda bandar berkenaan dan beliau merayu bantuan kerajaan persekutuan, termasuk Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum bagi mengekang jenayah terancang.
Laporan antarabangsa menyebut kejadian berlaku di komuniti Loma de Flores, Salamanca, dalam negeri Guanajuato yang sememangnya terkenal dengan kadar jenayah tinggi, termasuk konflik berpanjangan antara kartel Santa Rosa de Lima dan Jalisco New Generation Cartel (CJNG).
Susulan tragedi itu, pihak berkuasa tempatan dan persekutuan melancarkan siasatan serta meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan terlibat.
Guanajuato sebelum ini dikenal pasti sebagai negeri dengan kadar pembunuhan tertinggi di Mexico, meskipun kerajaan mendakwa statistik nasional menunjukkan penurunan kadar jenayah pembunuhan tahun lalu, namun angka itu masih dipersoalkan penganalisis.
Insiden berkenaan turut menimbulkan kegusaran orang ramai memandangkan ia berlaku di ruang awam semasa acara sukan, sekali gus mengundang persoalan mengenai keupayaan Mexico menjamin keselamatan awam ketika negara itu bersiap sedia menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












