Ahli Parlimen Bukit Bendera dakwa jadi mangsa serangan peribadi yang terancang
KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, mengecam keras penyebaran beberapa video di platform TikTok yang didakwa mengandungi unsur fitnah, penyelewengan fakta dan hasutan kebencian terhadap dirinya.
Menurutnya, tiga akaun TikTok iaitu @nowadd_, @cikguirisdelea dan @sayapkiri916 dikesan telah memuat naik video yang memaparkan tuduhan tidak berasas serta memainkan sentimen agama dan stereotaip gender.
Beliau turut menegaskan bahawa video tersebut bukan lagi berbentuk kritikan politik, tetapi serangan peribadi yang terancang.
“Demokrasi tidak dapat bertahan apabila pembohongan dijadikan senjata untuk menyalakan kemarahan rakyat atau mengancam keselamatan individu khususnya wanita dalam kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Jalan Patani, Pulau Pinang sebagai langkah susulan terhadap penyebaran kandungan berunsur fitnah berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa salah satu akaun terbabit telah memadam video tersebut, namun bahan berkenaan telah disimpan sebagai bukti.
Dalam pada itu beliau turut menyifatkan penggunaan sentimen agama dan gender dalam video-video berkenaan sebagai cubaan untuk “menghilangkan kemanusiaannya di mata penonton.”
Sementara itu, Syerleena menyeru syarikat media sosial, khususnya TikTok, untuk mengambil langkah lebih tegas terhadap kandungan yang melanggar garis panduan komuniti termasuk
menghapuskan video yang berunsur fitnah dan kebencian, menggantung akaun yang berulang kali melakukan gangguan terancang dan meningkatkan moderasi kandungan politik di Malaysia.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis menyiasat pembuat video-video tersebut mengikut lunas undang-undang.
Sebagai seorang pemimpin wanita Muslim, beliau menekankan bahawa taktik mengapi-apikan gender dan agama sering digunakan untuk membungkam wanita daripada menyertai kepimpinan.
“Negara ini memerlukan lebih ramai wanita di meja membuat keputusan. Kami tidak akan berundur,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









