BERSATU Negeri Sembilan cadang Presiden PAS sebagai Pengerusi PN yang baharu
SEREMBAN – BERSATU Negeri Sembilan mencadangkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini.
Ketuanya, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, langkah itu membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih berwibawa dan strategik bagi menerajui gabungan berkenaan.
Menurut beliau, dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar dan tidak menentu, PN memerlukan seorang pengerusi yang mempunyai autoriti moral yang kukuh, pengalaman politik yang luas serta keupayaan menyatukan parti-parti komponen secara berdisiplin dan berkesan.
“Presiden PAS memenuhi kesemua kriteria tersebut dan tidak boleh dipertikaikan kelayakannya untuk memimpin PN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, jawatan Pengerusi PN wajar disandang oleh presiden parti komponen yang mempunyai mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan autoriti serta memastikan kelancaran pentadbiran dan pembuatan keputusan strategik.
Tambahnya lagi, pelantikan tokoh selain daripada kalangan presiden parti berisiko melemahkan rantaian kepimpinan, menyukarkan penyelarasan gabungan serta menjejaskan keberkesanan pentadbiran PN secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Hanifah berkata kedudukan Abdul Hadi sebagai tokoh nasional yang dihormati dan disegani merentasi kaum serta latar masyarakat menjadikan beliau aset penting dalam memperkukuhkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap PN.
“Hakikatnya, dalam PN hari ini hanya dua tokoh yang benar-benar memiliki legitimasi, pengalaman serta penerimaan menyeluruh untuk menerajui gabungan ini iaitu Muhyiddin dan Abdul Hadi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Abdul Hadi merupakan pilihan paling rasional, kukuh dan berwibawa bagi memastikan kesinambungan serta kestabilan kepimpinan PN terus terpelihara menjelang cabaran politik dan pilihan raya akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












