AGAMABERITA SEMASA

Padam infografik fitnah lantikan bukan Islam atau berdepan tindakan undang-undang – Exco Agama Selangor

SHAH ALAM – Dakwaan lantikan pemuda bukan Islam sebagai Setiausaha Kanan (SU Kanan) di Pejabat Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini disifatkan sebagai tidak benar serta berniat jahat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah menegaskan, dakwaan kononnya seorang lelaki bukan Islam dilantik sebagai SU Kanan di pejabatnya adalah palsu dan tidak berasas.

Beliau berkata, perkara itu bermula daripada satu hantaran infografik yang kononnya dibuat oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia yang menamakan seorang pemuda bukan Melayu serta mengucapkan tahniah atas lantikan sebagai SU Kanan di pejabatnya.

“Perkara itu telah tersebar dan pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia sendiri telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa hantaran tersebut telah diedit dan bukan datang daripada mereka.

“Hantaran palsu ini tentunya bersifat fitnah, tidak benar dan berniat jahat,” katanya dalam satu hantaran video.

Menurut beliau, sepanjang penubuhan pejabatnya, tidak pernah ada pegawai bukan Islam atau bukan Melayu yang bertugas sehingga hari ini.

“Tidak ada. Dan kami tidak berhasrat pun untuk membuat lantikan yang sebegitu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengguna media sosial supaya segera menurunkan segala laporan serta tohmahan berkaitan dalam tempoh 24 jam daripada video penjelasan yang dikeluarkannya.

Tegasnya, beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun yang telah dikenal pasti sekiranya fitnah tersebut tidak dihentikan.

“Ini adalah satu fitnah yang berniat jahat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan fitnah, khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia, sebaliknya kembali mengimarahkan bulan tersebut dengan amalan yang baik dan mulia.

“Saya doakan semua dapat melaksanakan bulan Ramadan dengan baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button