BERITA SEMASAPMX

Kerajaan lulus RM800,000 baik pulih Dewan Hargreaves MCKK

KUALA KANGSAR – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi kerja-kerja menaik taraf sistem penyaman udara dan elektrikal di Dewan Hargreaves, Kolej Melayu Kuala Kangsar, di sini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut bertujuan memastikan kemudahan di institusi berkenaan berada dalam keadaan lebih selesa untuk kegunaan warga sekolah dalam pelbagai aktiviti dan program.

Anwar yang juga alumni MCKK, berkata, sekolah berkenaan mempunyai sejarah panjang serta pencapaian membanggakan dalam melahirkan ramai pemimpin dan tokoh negara dalam pelbagai bidang.

“Sudah tentu saya berasa bangga dapat kembali ke sekolah yang banyak memberikan pendedahan, pencerahan dan latihan sepanjang tujuh tahun di sini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada guru-guru serta rakan-rakan atas jasa dan khidmat yang tidak mampu saya balas kerana budi mereka terlalu tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Temu Anwar Bersama Warga MCKK, hari ini.

Beliau berharap generasi baharu pelajar dapat terus mengangkat kecemerlangan institusi itu, bukan sekadar bersandarkan sejarah, sebaliknya meneruskan legasi dengan pencapaian yang lebih gemilang.

Program bertemakan “MCKK, Kepimpinan dan Masa Depan Malaysia MADANI” itu turut dihadiri Exco Pendidikan Perak yang mewakili Menteri Besar, Datuk Khairudin Abu Hanipah; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who.

Anwar menerima pendidikan menengah di MCKK dari tahun 1960 hingga 1966 dan sepanjang tempoh itu dikenali sebagai pelajar cemerlang serta aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu selain menyerlah sebagai pemidato.

Institusi yang turut dikenali sebagai “Eton of the East” itu menjadi antara asas penting dalam pembentukan kepimpinan beliau sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button