Kes pukul anggota tentera: Koperal mengaku tidak bersalah
BENTONG – Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencederakan rakan setugas termasuk seorang mangsa yang parah, bulan lalu.
Tertuduh, Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan, memetik laporan Astro Awani.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, di stor senjata Kompeni C, Kem Askar Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, pada pukul 8.30 pagi pada 30 Mac lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak menghampiri atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
BACA JUGA:
Seorang koma, 6 cedera kes pukul di kem tentera
Tidak puas hati arahan tugas cetus insiden pukul sesama anggota tentera
Kes pukul anggota tentera: Suspek didakwa hari ini
Bagaimanapun peguam bela, Mohamed Hafiz Baharudin memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang bertugas sebagai penjaga stor hanya berpendapatan bersih RM1,800 sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi pertuduhan pertama selain membenarkan syarat tambahan tersebut dan menetapkan 18 Mei sebagai tarikh serahan dokumen.
Bagi enam pertuduhan lain, Sukry didakwa mencederakan enam anggota iaitu Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, Muhammad Syakirin Yaacob, Muhammad Azman Shah Ismail, Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin dan Muhamad Danial Asraf Azizan di lokasi sama pada pukul 8.30 malam hari kejadian.
Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun mahkamah menetapkan RM2,000 bagi setiap kes selain syarat tertuduh tidak menghampiri atau mengganggu mangsa sehingga perbicaraan selesai.
Sebelum ini, pada 31 Mac lalu, polis menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripadanya cedera parah di sebuah kem tentera di sini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












