BERITA SEMASA

Malaysia tegas sokong konsep keselamatan adil dan inklusif – Shamsul Anuar

MOSCOW – Malaysia menegaskan komitmen terhadap konsep keselamatan yang adil, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar dalam sesi plenari Mesyuarat Antarabangsa ke-13 Wakil Tertinggi Bagi Hal Ehwal Keselamatan (13th HROSM) yang berlangsung di Moscow, Rusia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang mewakili Malaysia menyampaikan ucapan dalam sesi bertajuk “Shaping Architecture of Equal and Indivisible Security: Challenges and Opportunities for States of Global South and East” yang dipengerusikan Menteri Luar Rusia, S.V. Lavrov dan disertai oleh 114 negara.

Pada masa sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin turut menyampaikan ucapan pembukaan secara video.

Menurut Shamsul Anuar, Malaysia menyokong penuh prinsip keselamatan yang berlandaskan kerjasama, dialog dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, bukan melalui sekatan atau sistem blok kuasa yang eksklusif.

“Keamanan sejati tidak boleh dicapai melalui dominasi atau peminggiran, tetapi harus dibina atas dasar kepercayaan, kerjasama dan keadilan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Malaysia terus menjunjung prinsip ASEAN Centrality dan ZOPFAN sebagai asas kestabilan serantau di Asia Tenggara.

“Keamanan bukan hanya melibatkan aspek ketenteraan tetapi juga berkait rapat dengan keadilan sosial, keselamatan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut menggesa pembaharuan menyeluruh terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar negara-negara membangun dari Selatan Global diberi suara dan peranan yang lebih seimbang dalam menentukan hala tuju dunia.

“Malaysia juga menyokong pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan, terutamanya dalam menangani cabaran bersama seperti keselamatan siber, bencana alam dan isu kesihatan awam,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk menjadi rakan kongsi yang setara kepada semua negara, dalam usaha membina dunia yang aman, adil dan sejahtera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button