Motif tembakan Komander AKPS dipercayai untuk gertak penguat kuasa
BUKIT KAYU HITAM – Polis percaya motif awal kejadian tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam adalah untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa susulan kejayaan beberapa operasi rampasan kebelakangan ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati terdapat kemungkinan pihak tertentu tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas AKPS dan polis dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
Menurutnya, bulan lalu AKPS berjaya merampas daging khinzir yang cuba diseludup masuk selain beberapa rampasan lain yang berkemungkinan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan sindiket.
“Jadi motif kejadian setakat ini dipercayai untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun kejadian ini tidak akan mematahkan semangat semua pegawai penguat kuasa untuk terus menjalankan tugas dan membanteras penyeludupan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu, mangsa, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat selepas kenderaan Proton X70 yang dinaikinya ditembak dua das oleh suspek.
Siasatan mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu motosikal ketika menghampiri sebelum melepaskan tembakan.
BACA JUGA:
Komander AKPS terselamat, kenderaan ditembak dua das di Bukit Kayu Hitam
“Ketika kejadian beliau dalam perjalanan ke masjid yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sebelum terdengar bunyi letupan.
“Beliau cuba mengejar dua lelaki menaiki motosikal itu namun gagal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan beliau sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.
Terdahulu, media melaporkan kenderaan yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dua das ketika beliau dalam perjalanan menunaikan solat Subuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












