NGO puji inisiatif KDN wujudkan akta baharu tangani penjualan dadah sintetik
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peduli Masyarakat (PEDULI MASYARAKAT) menyambut baik usaha kerajaan untuk meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu bagi menangani penularan dadah sintetik khususnya melalui dalam talian.
Penolong Setiausaha PEDULI MASYARAKAT, Aniq Danish Isyraf Abu Hassan berkata, pihaknya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya memberikan keutamaan kepada perkara itu dan mengambil tindakan segera supaya satu undang-undang yang tegas dapat dikuat kuasa dengan segera.
Beliau berkata, kebanyakkan dadah sintetik lebih bahaya dan memberikan kesan yang lebih buruk kepada penggunanya.
“Sebagai contoh, beberapa negara di Eropah, Amerika Syarikat dan China telah memperkenalkan undang-undang dadah jenis fentanyl dan netazene atau lebih dikenali dengan dadah zombi.
“Biarpun penularan dadah zombi ini tidak serius tetapi usaha untuk membanterasnya harus dilaksanakan dari sekarang.
“Peningkatan kes dadah sintetik yang kini boleh didapati dengan mudah melalui media sosial dan platform atas talian amat membimbangkan, kerana ia menyasarkan golongan belia secara halus tanpa mereka sedari risiko yang bakal dihadapi. Dadah jenis ini memberikan kesan kepada negara dan generasi muda yang akan mewarisi kepemimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk menangani fenomena penularan dadah sintetik khususnya melalui dalam talian.
Data daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan peningkatan ketara penyalahgunaan dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan ketamin sejak lima tahun kebelakangan ini.
Pada tahun lalu sahaja, dadah sintetik menyumbang hampir 80 peratus daripada jumlah tangkapan berkaitan dadah di seluruh negara.
Aniq Danish Isyraf menyifatkan langkah tersebut sebagai tepat pada masanya dan penting dalam menangani cabaran baharu berkaitan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Saya amat menghargai usaha Menteri Dalam Negeri yang tampil dengan inisiatif undang-undang lebih kukuh bagi membendung penjualan dadah sintetik. Ini bukan sahaja langkah pencegahan, tetapi juga perlindungan kepada generasi akan datang.
“Sebagai rakyat, kita perlu menyokong usaha ini. Ia bukan hanya tentang keselamatan individu, tetapi juga kesejahteraan negara secara keseluruhan,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












