JENAYAH & MAHKAMAH

Tentera Darat gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM10.9 juta di sempadan Kedah

KUALA NERANG — Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk dadah bernilai lebih RM10.9 juta dalam satu operasi awal pagi berhampiran sempadan Malaysia–Thailand sekaliagus menjadikannya rampasan terbesar tahun ini.

Menurut TDM dalam satu kenyataan, Kejayaan itu dicapai menerusi Kumpulan Serbuan dan Tangkapan (SERKAP) 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang melaksanakan operasi KOTA/B/C/D dan Pagar II Siri 6/2025 di bawah Kawasan Tanggungjawab Briged ke-6 Infantri Malaysia.

Menurut TDM, pasukan SERKAP yang diketuai Kapten Muhammad Zulhanif Abdul Rahim bersama lima anggota telah menahan seorang lelaki warga Thailand pada jam 4.30 pagi di lokasi kira-kira 1.2 kilometer dari Kem Sahara, Kuala Nerang.

“Lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati dia membawa beberapa peralatan termasuk walkie talkie, parang, beg pinggang dan lampu suluh.

“Susulan penahanan itu, pasukan melakukan pemeriksaan lanjutan pada jam 7 pagi dan berjaya menemui sembilan guni di sepanjang laluan yang dipercayai digunakan suspek. Guni berkenaan mengandungi bungkusan-bungkusan kecil menyerupai peket beras,” katanya hari ini.

TDM
Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk dadah bernilai lebih RM10.9 juta.

Dalam pada itu katanya, hasil siasatan lanjut mengesahkan bungkusan tersebut terdiri daripada ketulan dan serbuk kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine sebanyak 331 bungkusan dengan berat anggaran satu kilogram setiap satu.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.923 juta, dengan setiap peket bernilai kira-kira RM33,000.

“Setelah prosedur lengkap dijalankan, suspek serta semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada jam 2.55 petang hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan SERKAP 4 RRD atas kejayaan besar itu.

TDM
Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk dadah bernilai lebih RM10.9 juta.

Beliau turut mengarahkan agar tahap kesiapsiagaan ditingkatkan dan rondaan diperhebat di sepanjang sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button