JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan direman dera anak angkat hilangkan pensel warna di sekolah

MELAKA – Sepasang suami isteri direman selama enam hari selepas disyaki mendera anak angkat mereka berusia sembilan tahun kerana menghilangkan pensel warna yang dibeli di sekolah, bulan lalu.

Perbuatan dera itu termasuklah mencucuh jari mangsa menggunakan pemetik api dan merendam tangan kanak-kanak itu dalam air panas hingga melecur.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 10 November dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Uthman Abd Ghani terhadap pasangan berusia 27 dan 24 tahun itu.

Reman membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut sumber, kejadian terbongkar pada 30 Oktober apabila abang suspek berkunjung ke rumah pasangan itu di Batu Berendam dan terlihat kesan melecur pada jari kanan mangsa serta parut lama pada kaki.

“Suspek wanita menceritakan bahawa dia telah menyiram tangan kanan anak angkatnya dengan air panas kerana geram mangsa menghilangkan pensel warna di sekolah.

“Kaki mangsa pula pernah dicucuh pemetik api oleh suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori,” kata sumber itu seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Keesokan harinya, pengadu bersama bapanya membawa mangsa keluar dari rumah suspek bagi memastikan keselamatan kanak-kanak tersebut.

Mangsa kemudian menceritakan dia sering dipukul oleh kedua-dua suspek termasuk tangan direndam dalam air panas dan kesan parut di kaki akibat dicucuh pemetik api pada Ogos lalu.

Tidak berpuas hati dengan penderaan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November lalu.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Melaka menahan kedua-dua suspek tengah hari semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button