BERITA SEMASA

Penyelewengan dana awam jejas kewangan negara, SPRM sita aset lebih RM3.5 bilion

KUALA LUMPUR – Penyelewengan dan ketirisan dalam sektor awam bukan sahaja menjejaskan pengurusan kewangan negara tetapi turut menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Azam berkata, dana awam merupakan nadi kepada pembangunan negara yang perlu diurus dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya daripada perbelanjaan kerajaan.

“Antara kes utama yang memberi impak besar adalah projek bekalan air bernilai RM3.3 bilion menerusi Op Water Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyebut kes membabitkan bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan yang berdepan dengan 96 pertuduhan berkaitan pemalsuan dan pengubahan wang haram.

“Selain itu, SPRM berjaya menyita pelbagai aset mewah bernilai lebih RM3.5 bilion dan melucut hak hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun,” tambah Azam.

Azam berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2025 di Pulau Pinang, yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Bahagian Analisa Kewangan SPRM.

Program bertemakan “Integriti Kewangan: Menguatkuasakan Kepatuhan dan Pencegahan Penyelewengan dalam Perkhidmatan Awam” itu turut membincangkan isu penting dalam pengurusan kewangan sektor awam.

Mengulas lanjut, Azam menegaskan tindakan yang diambil oleh SPRM adalah bukti iltizam pihaknya untuk memastikan dana awam tidak disalah guna.

“Kepada mereka yang bermewah-mewah dengan wang rasuah, SPRM akan ambil semula wang itu kerana ia adalah wang rakyat,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Azam menyambut baik cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan di Parlimen tahun ini, yang menurutnya akan memperkukuh sistem perolehan kerajaan agar lebih telus, sistematik dan berlandaskan undang-undang.

Beliau juga menyeru agar perlindungan kepada pemberi maklumat terus diperkasa sambil menggesa akauntan dan juruaudit sektor awam supaya berani melaporkan penyelewengan serta ketidakpatuhan demi mempertahankan integriti perkhidmatan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button