BERITA SEMASADALAM NEGERI

Premis warga asing diserbu, 37 PATI ditahan

SERDANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Pangsapuri Timur, di sini awal pagi semalam.

Operasi pada pukul 12.10 tengah malam itu diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM dan melibatkan 58 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.

Sebanyak 82 individu pelbagai warganegara diperiksa dan 37 orang PATI berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Seorang PATI cuba menyorok di atas siling rumah bagi melepaskan diri daripada serbuan tersebut.

Tahanan tersebut melibatkan warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, serbuan itu dilakukan susulan aduan awam mengenai kehadiran PATI yang disyaki mendiami unit-unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang imigresen.

“Dalam operasi ini, terdapat individu yang enggan memberikan kerjasama sehingga memaksa pegawai kami memecahkan pintu kediaman,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, terdapat juga cubaan PATI untuk bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air namun semua helah tersebut berjaya digagalkan oleh pasukan operasi.

Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan pelanggaran lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Zakaria turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI.

“Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap majikan atau individu yang melindungi PATI,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan komitmen jabatan itu untuk melaksanakan undang-undang berkaitan termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button