BERITA SEMASADALAM NEGERI

SPRM Kedah kemuka syor pengukuhan tatakelola pengurusan tanah negeri

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengemukakan syor penambahbaikan tatakelola bagi memperkukuh pengurusan tanah Reserved Certificate (RC) dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di negeri ini, dalam usaha meningkatkan mutu penyelarasan dan kecekapan pentadbiran tanah.

Syor berkenaan dibentangkan dalam sesi libat urus bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah dengan penekanan kepada pembinaan kerangka tatakelola yang jelas, mudah dirujuk dan seragam antara agensi, termasuk dokumen panduan pengurusan RC dan RIBI yang selaras dengan keperluan semasa.

“Pendekatan ini dijangka membantu meningkatkan kefahaman bersama serta memastikan setiap proses yang melibatkan urusan tanah dapat dilaksanakan dengan tahap ketelitian dan konsistensi yang lebih tinggi.

“Sebagai pelengkap kepada usaha itu, syor turut menumpukan kepada penambahbaikan sistem maklumat serta penyediaan rekod tanah yang lebih teratur dan sistematik bagi menyokong kecekapan pentadbiran,” kata SPRM dalam kenyataannya kepada media.

Sesi pembentangan syor tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Syed Aswadi Syed Soffian dan dihadiri Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) SUK Kedah, Mohd Tarmizi Abdul Rani serta Timbalan Pengarah (Pembangunan) PTG Kedah, Amirah Khairiah Abdul Latip dalam sesi yang berlangsung di Pejabat SUK Kedah, kelmarin.

Syed Aswadi berkata, usaha pengukuhan ini adalah langkah strategik memastikan tadbir urus pengurusan tanah selaras prinsip integriti dan akauntabiliti, manakala SUK dan PTG Kedah bersetuju melaksanakan syor berkenaan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan.

“Setiap aspek pengurusan tanah perlu disokong oleh kerangka tadbir urus yang jelas, telus dan konsisten.

“Kehadiran SPRM dalam sesi ini bukan sekadar untuk mendapatkan pandangan, tetapi untuk membantu memperkukuh sistem sedia ada agar tahap kecekapan dan ketelusannya terus dipertingkat,” katanya.

Majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola turut diadakan sebagai simbol komitmen bersama memperkukuh struktur tadbir urus pentadbiran tanah negeri Kedah.

Sementara itu, SUK Kedah dan PTG Kedah turut menyambut baik syor penambahbaikan tersebut dan bersetuju untuk meneliti serta melaksanakannya secara berperingkat dengan tempoh sasaran penyelarasan dalam masa 12 bulan.

Pada sesi berkenaan, turut diadakan Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola, melibatkan SPRM Kedah, SUK Kedah dan PTG Kedah sebagai simbol komitmen bersama dalam mengukuhkan struktur tadbir urus pentadbiran tanah negeri.

Kesepakatan yang dicapai ini menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuh sistem pengurusan tanah yang lebih teratur, telus dan berakauntabiliti, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan pentadbiran tanah Negeri Kedah terus mantap, progresif dan berintegriti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button