BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Tajaan lebih RM22 juta jayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025

PUTRAJAYA – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 menerima sokongan padu apabila jumlah tajaan meningkat kepada RM22.31 juta hasil sumbangan 113 rakan strategik daripada sektor korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta swasta.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, peningkatan jumlah tajaan itu membuktikan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam memastikan sambutan peringkat nasional itu berlangsung dengan lebih meriah dan bermakna.

Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.96 juta diterima dalam bentuk tunai manakala RM20.35 juta lagi merupakan tajaan barangan dan perkhidmatan.

“Ini peningkatan yang amat ketara berbanding tahun lalu dan tahun ini, usaha dan kerjasama semua pihak membuahkan hasil yang amat membanggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik atas sumbangan yang telah menceriakan pelbagai acara sambutan, termasuk Telekom Malaysia yang menjadi antara penyumbang terbesar tahun ini.

Beliau memaklumkan, Kementerian Komunikasi akan mengeluarkan surat permohonan penajaan lebih awal pada Januari depan bagi memastikan persiapan sambutan tahun hadapan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Dalam masa sama, Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan pelbagai acara sepanjang Bulan Kebangsaan bermula dengan pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Johor pada 27 Julai lalu, sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos serta sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September.

“Ini tahun ketiga saya diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Setiap tahun ada cabaran berbeza, namun semangat serta komitmen pasukan menjadi kekuatan utama yang memastikan kejayaan penganjuran,” katanya.

Fahmi yakin dengan semangat kerjasama serta dedikasi semua pihak, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun-tahun akan datang akan terus menjadi lebih gemilang dan membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button