Tiada keperluan iktiraf UEC – Dr Anuar
KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya semua pihak tanpa mengira kaum mesti menyokong sistem pendidikan kebangsaan.
“Sejak tahun 1975, Tun Dr Mahathir ketika itu Menteri Pelajaran telah pun membenarkan UEC dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini.
“Pada tahun 2012, di akhir tempoh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pendidikan sebelum diganti dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, UEC telah mendapat pengiktirafan separa atau bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke institusi pengajian guru (IPG) bagi bidang bahasa Cina sahaja.
“Nampaknya, bila sudah dibenarkan UEC beroperasi di negara ini (1975) dan diberikan pengiktirafan bersyarat (2012), sekarang dituntut pula supaya diiktiraf UEC sepenuhnya sepertimana persijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menyeru semua pihak supaya bersama-sama memajukan sistem pendidikan negara.
“Kalau ada kekurangan, sama -sama kita tegur. Kita kritik tetapi bukan dengan niat meruntuhkan. Niatnya untuk sama-sama kita bangunkan sistem pendidikan kita.
“Malah Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang bersetuju supaya sekolah vernakular diterima sebagai ‘sekolah aliran kebangsaan’. Tidak ada negara lain yang buat seperti ini.
“Malah kewujudan sekolah vernakular di negara ini telah pun diiktiraf di dalam peruntukan undang -undang berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021,” katanya.
Pada masa sama beliau turut menggesa pemimpin Malaysia untuk masa depan supaya berjiwa besar dan menunjukkan sifat patriotik dengan bersama-sama memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dan bukan dengan terus menerus memecahbelahkan sistem pendidikan kepada lebih banyak aliran dan persijilan pendidikan.
“Kena ingat, UEC bukan lahir daripada sistem pendidikan negara ini. Kurikulum UEC juga bukan kurikulum kebangsaan,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, DAP akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta supaya UEC diiktiraf.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












