Wanita ditahan tidak hormati Ramadan menerusi siaran langsung TikTok
SEREMBAN – Seorang wanita ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tidak menghormati bulan Ramadan menerusi satu siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada Ahad lalu.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
Beliau berkata hasil penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati wanita itu berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira pukul 6.45 petang.
“Semasa siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Susulan itu, Mohd Asri menasihatkan umat Islam supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan agama Islam.
Beliau berkata, JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya ketika sedang bersiaran langsung (live) menerusi TikTok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












