BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Mayat di bawah jambatan disahkan pelajar kolej hilang sejak Sabtu

SUBANG JAYA – Seorang pelajar kolej yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu disahkan sebagai individu yang ditemui mati di bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Batu 13, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati satu laporan orang hilang telah dibuat membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun.

“Pengadu iaitu kakak mangsa tampil membuat laporan polis pada 26 Julai lalu selepas adiknya gagal dihubungi.

“Menurut laporan, adiknya sebelum itu ada meminta dijemput di Stesen LRT Putra Heights pada pukul 12 tengah hari, 25 Julai. Namun, sehingga pukul 2 petang keesokan harinya, dia masih tidak dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kemudian menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang wanita dan hasil pemeriksaan menemukan kunci dalam poket seluar si mati.

Polis kemudiannya melakukan pemeriksaan di kediaman wanita terbabit yang terletak di Jalan Klang Lama, selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa berada di kawasan itu sebelum dilaporkan hilang.

“Waris dipanggil untuk pengecaman dan mengesahkan pakaian yang dipakai adalah milik mangsa.

“Cap jari turut dihantar ke makmal bagi pengesahan lanjut sebelum mayat diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Menurut Wan Azlan, proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Serdang sekitar pukul 8 pagi semalam, namun laporan penuh masih belum diperoleh.

“Hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam keadaan tertiarap di atas batu di bawah jambatan tersebut.

Pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button