BERITA SEMASA

NGO Melayu, India sepakat cari jalan perdamaian

PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India sepakat mencari jalan perdamaian melalui rundingan bagi mencari persamaan dalam menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.

Dalam pertemuan antara wakil kedua-dua kaum kaum itu menerusi program Harmoni MADANI, kedua-dua pihak turut menggesa supaya segala isu perkauman dinoktahkan segera dengan mencari titik perdamaian menyeluruh.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dialog berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berunding tanpa dipengaruhi pihak luar.

“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.

“Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog secara tertutup yang berlangsung hampir empat jam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Zainul berkata, rundingan pusingan pertama hari ini membabitkan kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India yang komited mencari penyelesaian secara harmoni.

Sementara itu, Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar turut berkata, pertemuan itu amat penting bagi mencari penyelesaian damai.

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (PMO) serta pelaksanaan audit tanah membabitkan rumah ibadat.

“Usaha hari ini adalah untuk mencari satu penyelesaian damai di antara komuniti Melayu dengan komuniti India. Ini rundingan pertama di peringkat awal dan kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti isu kaum dan pembinaan tanpa izin.

“Kita juga mencadangkan satu jawatankuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri serta audit tanah untuk mendapatkan data yang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak menginginkan hidup dalam negara yang harmoni dan tidak sewajarnya perpaduan serta perdamaian dipertaruhkan angkara segelintir individu tidak bertanggungjawab.

“Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian,” katanya.

Antara yang dilihat hadir ialah Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth; aktivis, Cikgu Chandra atau nama sebenar, S Chandrasegaran serta pendakwah Bebas, Firdaus Wong.

Hadir sama, aktivis yang juga pempengaruh, Kumaresan Jothi @ Santhanar Dronachariyar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button